Hidup kita berbeza
Awak saya dia
Semuanya melalui jalan yang berbeza
Ada yang berliku
Ada yang lurus saja pada awalnya tetapi bercabang di penghujung
Ada jalan yang rata
Ada jalan yang berbatu
Itulah hakikat kehidupan
Untuk menghadapi semua jalan yang nyata berbeza itu, maka kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu.
Dalam satu tazkirah ada menyatakan bahawa hakikat ilmu itu adalah apabila ianya dapat membawa kita kembali kepada pencipta kita.
Tidak guna belajar jauh beribu batu tetapi kita akhirnya sombong.
Tiada guna berkelulusan tinggi tetapi kita semakin rakus dengan dunia dan meninggalkan akhirat.
Sayang sekali sebegitu.
Semasa saya masih bersekolah, saya belum tentu ke mana tujuan hidup saya. Apa yang saya lihat semuanya kabur dan tidak jelas, semata-mata ingin memenuhi pencapaian gah yang dibanggakan dunia dan segala isinya.
Kini sementelah hampir ke tahun akhir pengajian ijazah dalam bidang yang saya tak pernah dengar namanya sebelum ini, ternyata banyak pelajaran yang saya dapati.
Universiti tempat saya belajar benar-benar merupakan universiti kehidupan, bukan semata-mata untuk menyempurnakan tuntutan akademik. Jauh di sudut hati, saya selalu percaya di mana Allah tempatkan saya di situ yang terbaik. Dan sekarang saya sedang menuai dan menikmati manisnya buah-buah kepasrahan takdir Ilahi.
Saya pernah 2 kali gagal temuduga ipg, satu dalam bidang tesl(english) dan satu lagi matematik padahal jika diikutkan keputusan spm saya lebih daripada mencukupi kelayakan ketika itu.
Saya juga pernah dilema samaada ingin menjadi pelajar matrikulasi, pelajar asasi ataupun pelajar persediaan bawah tajaan MARA. namun atas keputusan yang saya ambil, saya tak pernah menyesal. Saya pernah meng"kalau"kan takdir, ia salah satu perkataan yang membuka pintu kepada syaitan untuk menggoyangkan keyakinan saya. Namun akhirnya saya tetap betah dalam pencarian hikmah Ilahi dan saya menjumpai sesuatu yang hakiki
Saya suka melihat foto-foto yang dikongsi oleh rakan-rakan saya yang belajar di luar negara dalam pelbagai bidang. Jauh di sudut hati ada rasa teruja dan ingin turut serta menjejakkan kaki ke sana(In sya Allah). Tetapi saya yakin itu anugerah yang selayaknya untuk mereka, bukan saya. Besar pengorbanan dan jihad yang mereka lakukan. Bukan perkara yang mudah untuk meninggalkan semua kesayangan dan kebiasaan mereka di tanah air. Tetapi demi ilmu, dengan yakin dan ikhlas mereka tinggalkan. Percaya, Allah tidak akan membebankan sesuatu kaum sesuai dengan kesanggupan mereka.
Takdir kita sentiasa terindah. Sudah tercatat di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Positiflah dengan apa yang tertulis. Bersangka baik dengan Allah. Pegang kata-kata hikmat daripada orang dahulu kala "usaha, doa, dan tawakal" . Jangan pernah menyesali takdir. Berusahalah jangan pula bermalasan dan bersikaplah positif. Jadilah orang yang berilmu bukan orang yang hanya tahu berdrama dalam kehidupan yang sementara.
In sya Allah. Ajak diri kita kembali kepada ajaran Islam dengan sebenar-benarnya kerana hari ini ramai orang Islam, ramai juga yang tersesat, ramai juga yang longgar pegangan dan amalannya.
Tidak kira apa jua takdir kita, takdir itu sentiasa terindah daripada Ilahi. Maka syukurlah selalu dan nikmatilah kebaikan Allah kepada setiap hamba yang sentiasa roja'(takut) dan berharap kepada-Nya, pemilik kerajaan langit dan bumi, raja kepada segala raja.
Hei kau aku dan dia.
Takdir kita itu selalunya yang terindah.
Bangkitlah!